KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang pembantu kedai menyamar sebagai penguat kuasa pencegah maksiat dengan memeras ugut sepasang kekasih agar menyerahkan wang RM1,000 membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
Muhammad Azizol Rudin, 23, dari Chendering, di sini, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku salah melakukan pemerasan dengan mengugut untuk memukul mangsa, Mohd Syafiq Wahab, 25, bagi mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM1,000.
Dia mengaku salah melakukan jenayah berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang baru berusia 18 tahun, pada 15 September tahun lalu, kira-kira jam 4 petang di bawah Jambatan Taman Rekreasi Chendering, di sini.
Dengan itu, dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Bagaimanapun, Abdul Hayyi menetapkan 28 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum terhadap rakannya itu sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.